Friday, October 1, 2021

Penjelasan operasi sekolah di negeri beralih ke fasa 3 PPN

KUALA LUMPUR: Pembukaan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan bagi negeri yang beralih fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan hanya dilakukan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa itu berkuat kuasa.

Berikutan itu, kementerian berkata pembukaan institusi pendidikan seliaannya bagi negeri Selangor dan Melaka Kuala Lumpur dan Putrajaya kekal pada 4 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN walaupun negeri berkenaan beralih ke fasa 3 esok.

Menurutnya, ini membabitkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

"Pembukaan juga membabitkan pelajar semester dua Tingkatan Enam, International Baccalaureate Diploma (IBD) tahun dua, Program Prauniversiti Semester tiga di Sekolah Sukan Sukan Malaysia dan Murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBDP).

"Bermula esok, negeri Selangor dan Melaka serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 3 PPN.

"Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan mengikut ketetapan Fasa 3 PPN akan bermula pada 18 Oktober 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya operasi pada 18 Oktober nanti akan membabitkan pertambahan kemasukan murid lain meliputi murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, IBD, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah pula kekal pada 10 Oktober ini untuk pelajar semester dua Tingkatan Enam dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level).

"Memandangkan negeri Kedah akan beralih ke Fasa 2 esok, pengoperasian institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa 2 PPN hanya akan bermula pada 17 Oktober 2021," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pembukaan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan bagi Zon Selatan negeri Sarawak kekal pada 4 Oktober ini berdasarkan Fasa 2 PPN walaupun negeri itu beralih ke fasa 3 mulai esok.

"Pengoperasian institusi pendidikan lain di Zon Selatan negeri Sarawak berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober ini," katanya.

Tambah kenyataan itu, semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sepanjang tempoh perintah itu berkuat kuasa dan pelajar akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Kementerian Pendidikan juga menyarankan ketetapan ini terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

No comments: