Friday, October 1, 2021

Lelaki rempuh SJR dipenjara, denda RM37,000

 Oleh Zatul Iffah Zolkiply

  Foto hiasan Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang memandu kereta secara cuai dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya Julai lalu, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM37,000 di dua Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Chew Chong Teck, 45, turut berdepan hukuman penjara 21 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain semua kesalahan tertuduh akan dicatit di dalam semua kelas lesen memandunya.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku salah terhadap empat tuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan jenis Honda City secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kemalangan di Jalan Kuala Berang (lampu isyarat Kubang Parit), jam 12.15 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh yang berdepan tiga tuduhan sama didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi berasingan sekitar daerah ini antara jam 12.06 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 15 Julai lalu.

Bagi setiap kesalahan itu, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM9,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Chia Bih Huah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Najmi Md Nasir.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengambil masa lebih sejam mengejar kereta dipandu lelaki yang memandu dalam keadaan bogel sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Batu 18 di Kuala Berang.

Lelaki itu melarikan diri selepas melanggar SJR Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Bukit Jong dan ketika melarikan diri, dia turut melanggar 12 lampu isyarat, tiga SJR PKP dan tiga kenderaan awam.

No comments: