Friday, October 29, 2021

Facebook tukar nama kepada Meta

HARAKAH DAILY
Mark Zuckerberg - FOTO AP

NEW YORK: Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg mengumumkan nama korporat platform media sosial itu akan bertukar kepada Meta mulai Khamis (28 Okt), untuk menekankan visi ‘metaverse’nya, namun rangkaian sosial utamanya masih mengekalkan namanya sebagai Facebook, begitu juga Instagram dan WhatsApp.

“Mulai sekarang (nama korporat) kami kini dikenali sebagai Meta dan bukan lagi Facebook,” ujar  Zuckerberg semasa ucaptama pada persidangan pemaju tahunan syarikat itu.

 “Saya berharap orang ramai mengenali jenama Meta dan masa depan yang kami perjuangkan,” tambahnya.

Zuckerberg berkata, penjenamaan semula berkenaan adalah kerana pada masa hadapan, syarikat itu akan memberi tumpuan untuk membina produk realiti maya yang menghubungkan pengguna melalui medium berbeza bagi menggantikan intenet mudah alih. 

“Saya meramalkan satu bilion orang akan menyertai metaverse menjelang dekad akan datang,” ujarnya.

Perkataan Metaverse diambil daripada istilah yang dicipta dalam novel, Snow Crash yang merujuk secara meluas kepada idea alam maya untuk dikongsi dan boleh diakses oleh orang ramai dengan menggunakan peranti berbeza. HARAKAHDAILY

No comments: