Friday, October 29, 2021

PRN Melaka 'ujian asid' kelancaran PRU15 - Dr Suhazeli

Israr Khalid
PRN Melaka 'ujian asid' kelancaran PRU15 - Dr Suhazeli
SOP khusus perlu segera diumumkan dan kerajaan perlu tegas dalam penguatkuasaan. - Foto fail
 
KUALA LUMPUR: Andai berjaya penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang selesai 20 November ini, besar kemungkinan lancar dan selamatlah perjalanan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
 
Itu pendapat pakar kesihatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah yang melihat acara di Melaka bulan depan itu menjadi medan percubaan dan ujian buat semua pihak terlibat untuk mengadakan acara besar itu dalam norma baharu.
 
“Penjagaan kesihatan awam ini ibarat bermain layang-layang, ada kalanya perlu ditarik dan ada ketikanya perlu dilonggarkan.
 
“Kalau kita tak pandai menguruskan ini secara seluruhnya, maka kesannya nanti akan berulang pada mana-mana pilihan raya yang akan datang.”
 
Kata Dr Suhazeli, mahu tidak mahu kita perlu mengharungi pilihan raya walaupun ancaman COVID-19 masih ada dan entah bila akan berakhir kerana kelangsungan demokrasi itu harus dijunjung dalam memastikan kestabilan sesebuah negara.
 
Kerajaan yang teguh juga diperlukan untuk melaksanakan dasar-dasar yang kuat termasuk pengurusan COVID-19 khususnya dan hal ehwal kesihatan secara amnya, dan ini memerlukan mandat rakyat untuk memilih perwakilan yang terbaik untuk mereka.
 
“Ahli-ahli politik ramai yang gagal patuh SOP malah masih ada yang enggan divaksin dan ini boleh menjadi iktibar pada kita semua.
 
“Di sinilah memerlukan ketegasan oleh kerajaan untuk mengekang daripada perkara ini membawa kepada sesuatu yang lebih teruk pada masa akan datang.”
 
Dr Suhazeli bersama dua lagi panel; mantan ahli tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC), G Manimaran dan penganalisis ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari di pentas Dialog Tiga Penjuru dihoskan Dzulfitri Yusop pada Khamis.

No comments: