Sunday, October 31, 2021

Polis serbu pusat hiburan salah guna lesen

Oleh SAFINA RAMLI
POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan di Georgetown, Pulau Pinang malam tadi selepas didapati menyalahgunakan lesen premis berkenaan.

GEORGETOWN: Cubaan sebuah pusat hiburan di pusat bandar di sini yang menggunakan lesen restoran untuk menjalankan aktiviti hiburan mengundang padah apabila diserbu oleh pihak polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, seramai 15 warga asing yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Selain itu, empat lagi wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO  turut ditahan menjadikan jumlah tangkapan seramai 19 orang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, kompaun turut dikeluarkan kepada 39 orang pengunjung warga tempatan manakala penjaga premis di tangkap atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah dan juga dikenakan tindakan kompaun.

Katanya, semasa serbuan dibuat, premis tersebut sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan fizikal semasa sedang beroperasi.

“Modus operandi premis berkenaan yang menyalahgunakan lesen restoran adalah dengan menjalankan perniagaan makanan restoran pada awal operasi.

“Kemudian mereka menukar aktiviti menjadi aktiviti seperti pusat hiburan dua jam sebelum premis ditutup pada pukul  12 tengah malam,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan di bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C)  Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

No comments: