PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP mengkritik tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengeluarkan kenyataan di luar bidang kementeriannya susulan kontroversi arak jenama “Timah”.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok berkata, Timbalan Presiden PAS itu seharusnya berpegang kepada objektif dan fungsi kementeriannya, selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim.
Katanya, ketika ini Menteri Alam Sekitar negara luar sedang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow, Scotland namun Tuan Ibrahim bukan saja tidak hadir ke persidangan berkenaan malah keprihatinannya lebih kepada nama arak yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan.
“Saya rasa lucu membaca kenyataannya. Saya tidak pasti sama ada Tuan Ibrahim faham tentang cabaran global dan tempatan yang dihadapi oleh kementeriannya di dalam kerajaan, dan sama ada beliau komited terhadap misi kementeriannya.
“Apakah ini menjadi tanggungjawab Menteri Alam Sekitar dan Air? Apakah nama wiski Malaysia ini akan menyumbang kepada pelepasan karbon ataupun mencemarkan sumber air di Malaysia?,” soal Ahli Parlimen Seputeh itu.
Kok juga mempersoalkan sama ada prestasi Tuan Ibrahim selari dengan kehendak prestasi Jemaah Menteri dalam tempoh 100 hari seperti diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
“Apakah dia akan membentangkan senarai jenama produk yang dianggap sensitif kepada Muslim dan menghalang produk-produk ini dijual dalam pasaran sebagai KPI beliau dalam 100 hari sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air?,” soalnya lagi.
Ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam, Tuan Ibrahim berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa, berikutan kontroversi jenama arak Timah.
Sebelum ini Tuan Ibrahim dilaporkan berkata orang Islam perlu menjauhi arak dalam setiap keadaan, namun hak bukan Islam untuk meminumnya “juga perlu dilihat”.
Beliau berkata, penggunaan perkataan Timah sebagai jenama arak keluaran syarikat tempatan itu “mengelirukan” selain kesal kerana ada pihak menggunakan isu itu untuk menyerang PAS walaupun ia mengambil pendirian tegas.
Selain nama, pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak berkenaan menyerupai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah imej seorang lelaki Islam alim yang sedang memakai kopiah.
No comments:
Post a Comment