Saturday, October 30, 2021

Terhimpit dengan masalah ekonomi, ibu sanggup jual bayi kandung RM2,040

 Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA

PALEMBANG: Seorang ibu di Palembang, Sumatera Selatan sanggup menjual anak kandungnya yang masih berusia sebulan dengan bayaran sebanyak 7 juta rupiah (RM2,040).

CNN Indonesia melaporkan, semuanya dilakukan kerana terhimpit dengan masalah ekonomi.

Tindakan Anita, 25, dari Ilir Barat II itu diketahui suaminya yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Kejadian bermula apabila Bobi, 26, bertanyakan mengenai anak mereka dan Anita mengaku telah menjualnya kepada seseorang.

Berang dengan apa yang dilakukan si isteri, Bobi kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

Polis terus membuat siasatan mengenai bayi perempuan itu dan menemukan pasangan suami isteri, Maliki dan Mardiana dari Buai Madang Ranau yang telah membeli bayi tersebut, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sumatera Selatan, Toni Harmanto berkata, berdasarkan pemeriksaan, Anita mengaku menjual anaknya sendiri atas pujukan ahli keluarga.

Menurutnya, Anita pada awalnya disuruh datang ke rumah ahli keluarganya dan di sana ada Gatot, 37; Putri Anggraini, 27; Rohima, 47; dan Ujuk Sali, 30.

Jelasnya, Ujuk Sali meyakinkan Anita bahawa sudah ada pihak yang mahu mengurus anaknya dan telah diserahkan wang sebanyak 7 juta rupiah.

Daripada jumlah itu, Gatot mengambil 2 juta rupiah manakala Ujuk Sali (300,000 rupiah) dan Rohimah meminta 700,000 rupiah sehingga bakinya, 4 juta rupiah diserahkan kepada Anita.

“Bayi ditemukan dalam keadaan baik,” katanya.

Toni berkata, Anita, Putri Anggraini, Rohima dan Gatot ditetapkan sebagai suspek manakala Maliki dan Mardiana pula berstatus saksi.

Ujuk Sali pula masih diburu polis.

Mereka berdepan hukuman penjara 15 tahun mengikut Perkara 83, Undang-Undang 23, Tahun 2002, Perlindungan Anak.

No comments: