KUALA LANGAT: Fenomena air laut pasang besar dijangka melanda lagi perairan di Semenanjung pada 3 hingga 8 November apabila paras air diramal melepasi lima meter pada awal pagi sepanjang tempoh tersebut.
Susulan itu, sebagai langkah berjaga-jaga, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menutup semua pantai peranginan di sekitar daerah ini termasuk kemudahan awam seperti medan selera dan kios jualan mulai 3 hingga 7 November berikutan paras air dijangka meningkat sehingga 5.6 meter.
MPKL mengambil keputusan menutup Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat apabila fenomena berkenaan dijangka berlaku bersama hujan lebat dan angin kencang secara serentak yang mungkin menyebabkan berlakunya kejadian lebih buruk.
Menurut Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd.Rahim, orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran menyimpan semua dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku kejadian banjir.
“Penduduk di pesisir pantai di daerah ini disaran untuk lebih berhati-hati dan berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 3 hingga 7 November ini disebabkan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.
“Orang ramai khususnya penduduk di daerah ini diingatkan agar tidak mendekati atau memasuki serta tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh yang ditetapkan memandangkan kesemua kawasan peranginan pantai yang terlibat akan ditutup sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dalam masa yang sama juga, MPKL akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang terlibat.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan fenomena air laut pasang besar berlaku selama tiga hari berturut-turut pada awal bulan ini menyebabkan beberapa kawasan termasuk penempatan penduduk di kawasan paya bakau di Klang, Selangor ditenggelami air.
No comments:
Post a Comment