Friday, October 29, 2021

PH tidak boleh janji kosong dalam PRN Melaka

 Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

HASSAN ABDUL KARIM

PASIR GUDANG: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh lagi menabur janji untuk memenangi hati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sebaliknya PH perlu bertindak selaras dengan apa yang dikata dan diperjuangkan selama ini agar gabungan itu akan dipercayai masyarakat.

Menurut wakil rakyat PKR itu, hal tersebut kerana rakyat tidak akan lupa kata-kata bekas Pengerusi PH ketika itu yang juga Perdana Menteri bahawa Manifesto PH bukannya kitab suci.

“PH telah diberi peluang menjadi kerajaan selama 22 bulan setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jauh lebih pendek berbanding tempoh lima tahun pemerintahan Taliban kali pertama di Afghanistan (1996-2001).

“Kebaikan dan kejayaan PH dalam tempoh 22 bulan bersejarah itu dalam beberapa hal terserlah juga. Tetapi kelemahan dan janji-janji tinggi yang gagal dipenuhi juga jelas kelihatan. 

“Kad laporan PH selama memerintah dalam kerajaan pertamanya selama 22 bulan itu berwarna-warni, dengan lulus berwarna biru dan gagal berwarna merah. Banyak merah daripada biru nampaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah bekas Pengerusi PKR Johor itu, pertubuhan sivil tempatan berasa dikhianati apabila pemimpin PH mula merasai nikmat dan keistimewaan menjadi pemerintah sehingga lari daripada perjuangan asal yang dikongsi bersama.

“Sebelum menang PRU-14, PH bertahun lamanya mesra dan bekerjasama dengan pertubuhan sivil di Malaysia.

“Tetapi selepas PH tumbang, pertubuhan sivil tidak lagi ghairah mendampingi PH apatah lagi untuk menolong PH bangkit kembali. Di mana silap PH, apakah dosa PH?” soalnya.

Sehubungan itu katanya, kini rakyat di seluruh negara akan menjadi pemerhati yang ada kepentingan untuk menilai kembali PH khususnya dalam PRN Melaka.

“Walaupun PRN Melaka ini berlaku di negeri antara terkecil di Malaysia, tetapi Melaka yang bersejarah itu sering disebut dengan ungkapan ‘Melaka, di mana tempat semuanya bermula’.

“Justeru keputusan PRN Melaka nanti boleh ditafsirkan sebagai potret wajah PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) khususnya di mata rakyat,” tambahnya.

Sehubungan itu Hassan memberitahu, PH perlu menjaga imej dan prinsip politik perjuangannya agar terserlah di Melaka.

“Imej politik yang baik di Melaka mungkin akan kekal positif di mata rakyat sehinggalah PRU Ke-15 nanti sebagai gabungan politik pelbagai kaum, agama dan budaya yang berintegriti, boleh dipercayai kerana adil, amanah, demokratik dan tidak mengejar kuasa semata-mata.

“Untuk menang jangka panjang, bukannya jangka pendek sekadar PRN Melaka sahaja, maka PH perlu mendapatkan semula sokongan pertubuhan sivil yang masih kelihataan dingin dan merajuk terhadap PH,” tambahnya.

No comments: