Friday, October 29, 2021

Permintaan daging tempatan makin meningkat

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
 

BACHOK: Sejak program Usahawanita Tani al Falah dilancar di Kelantan tahun lepas, sehingga sekarang berjaya melahirkan 14 usahawan wanita dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tahun lepas enam usahawanita dilahirkan melalui program tersebut.

Dan tahun ini lapan lagi usahawan wanita menceburi sektor tersebut secara kecil-kecilan dengan sokongan serta bantuan kerajaan negeri.

“Insya-Allah sasaran kita untuk menambah lagi usahawanita di bawah kelolaan kerajaan negeri dengan kerjasama Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita di peringkat Dun.

“Kita beri bantuan mengikut citrasa peserta, ada yang pilih ternak lembu, kambing dan ayam. Kita pilih peserta yang sudah memulakan perusahaan mereka secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian program Usahawanita Tani al Falah bagi tahun 2020 dan 2021 di Kampung Pengkalan Chengal di sini semalam.

Turut hadir timbalannya Abdul Azziz Kadir; Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim; Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Mohamad Kamal Mohamed.

Tuan Mohd Saripuddin juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM225,000 iaitu RM75,000 kepada U-Bes, Ukekwa dan Halaqat Dakwah untuk melahirkan usahawan.

Mengenai aspek pemasaran pula kata beliau, permintaan terhadap bekalan daging tempatan semakin diminati selepas status halal daging import yang meragukan.

“Rakyat sekarang tumpu kepada daging tempatan walaupun harganya berbeza sedikit tetapi mereka berpuas hati dengan kualiti dan yakin status halal daging tempatan berbanding daging yang diimport,” katanya. HARAKAHDAILY

No comments: