Thursday, May 27, 2021

Kudung jaga ibu, adik OKU

Oleh NOR AINNA HAMZAH
ZAINAL Nasir yang kudung tetap menjaga ibunya yang uzur, Jamilah Wahab (kanan) ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Batu, Rembau, Negeri Sembilan semalam. - 

REMBAU: Lelaki yang kudung kakinya sejak lima tahun lalu tidak menjadikan kekurangan dirinya itu sebagai halangan untuk menjaga ibunya yang uzur serta adik perempuannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam.

Zainal Nasir, 64, berkata, hanya dia dan adiknya, Nora Nasir, 57, tinggal bersama ibu, Jamilah Wahab, 82, manakala, tiga lagi adik-beradik yang lain tinggal di luar negeri ini.

“Ibu uzur atas faktor usia dan hanya terbaring di dalam bilik sahaja. Mujur ada adik, walaupun lembam, dia masih boleh membantu mengurus, mengelap dan menukar baju ibu.

“Tugas saya pula ialah memasak kerana adik hanya tahu memasak nasi sahaja. Adik lembam sejak kecil, namun, kerana sukar berulang alik ke hospital bagi menguruskan dokumen pakar perubatan, dia tidak mempunyai kad OKU,” katanya ketika ditemui dalam kunjungan Pengasas Pertubuhan Amal Anak Rembau (PAAR), Zaiton Othman di rumah mereka di Kampung Batu, di sini semalam.

Sementara itu, Zainal berkata, apa yang menjadi masalah buat dirinya ketika ini ialah kaki palsu yang digunakannya sejak lima tahun lalu sudah rosak dan kos
untuk mengganti dengan kaki palsu yang baharu agak tinggi.

“Sesukar mana kehidupan,kami masih boleh bergantung kepada hasil wang pencen tentera arwah bapa dan juga wang bantuan bulanan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) milik saya sebanyak RM250 sebulan.

“Adik-beradik yang lain pun ada bantu, namun, bagi membeli kaki palsu baharu yang nilainya mencecah ribuan ringgit itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kaki palsu ini pun saya dapat daripada wang caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masa muda-muda dulu,” katanya lagi.

Menurut Zainal lagi, atas faktor usia dan juga keadaan dirinya yang kudung, dia juga tidak mampu lagi bekerja. -UTUSAN ONLINE

No comments: