KUALA LUMPUR: Polis hari ini memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman Instagram (IG) milik ibu kepada usahawan dan selebriti popular, Neelofa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara itu, kira-kira jam 5.44 petang tadi oleh pemilik akaun Instagram berkenaan, Datin Noor Kartini Noor Mohamed.
"Laporan dibuat berhubung paparan di Instagram peribadi milik wanita berusia 54 tahun itu yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.
"Siasatan awal mendapati hantaran dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu dengan membuat hantaran melalui medium 'IG Story'," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Katanya, orang ramai dinasihat supaya tidak sewenang-wenangnya mengongsikan sebarang maklumat atau berita di media sosial hingga menjejaskan reputasi dan hak asasi mana-mana orang.
BH sebelum ini melaporkan ibu Neelofa itu membuat satu laporan polis, selain mendakwa dia kesal dengan perkara yang berlaku dan akan memastikan ia tidak berulang.
Noor Kartini berkata, perkara itu berlaku atas kecuaian seorang kakitangannya yang mempunyai akses membuka laman Instagram miliknya.
"Dia yang juga pengurus media sosial di Noor Khan International Sdn Bhd secara tidak sengaja memuat naik dalam IG Story tanpa sedar menggunakan akaun saya, @noorkartini.
"Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail berhubung perkara ini dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya.
Terdahulu, tular tangkap layar IG Story Noor Kartini dalam laman sosial yang kebanyakannya kesal dengan perkataan kasar digunakan.
Bagaimanapun, hantaran dalam IG Story itu dipadam selepas beberapa minit dimuat naik, petang tadi.
No comments:
Post a Comment