Kuala Lumpur: Pengurus media sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed dikenali, Zulshafiqah Zulkafli membuat permohonan maaf menerusi Instagramnya selepas tular isu berhubung tangkap layar di media sosial Instagram ibu Noor Neelofa itu yang dikatakan menghina Sistem Raja Berpelembagaan.
Dalam hantaran itu, Zulshafiqah membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Johor.
"Dengan ini, saya Zulshafiqah Zulkafli, Pengurus Media Sosial bagi akaun Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed menyatakan permohonan maaf saya kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat DiRaja Johor, serta Datin Noor Kartini Noor Mohamed dan seluruh keluarga.
"Saya dengan ini bahawasanya ingin menyatakan permohonan maaf saya berkenaan isu yang tular di media sosial hari ini (semalam) berhubung tangkap layar di media sosial Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed," tulisnya.
Zulshafiqah yang mengakui salah memuat naik tangkap layar itu juga berkata, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan bukan tulisannya.
"Saya secara jujur ingin menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku. Saya adalah Pengurus Media Sosial akaun Instagram Datin Noor Kartini dan tersilap memuat naik tangkap layar.
"Tangkap layar itu adalah bertujuan untuk rujukan saya sahaja, tiada sebarang niat untuk dimuat naik di Instagram Datin Noor Kartini mahupun Instagram peribadi saya.
"Saya juga mahu menjelaskan, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan adalah bukan dari penulisan saya mahupun Datin Noor Kartini sendiri," tulisnya.
Dalam hantaran sama, Zulshafiqah menjelaskan bahawa dia sudah memberi kenyataan dan kerjasama kepada pihak polis yang melakukan siasatan.
"Saya juga sudah memberi kenyataan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu menyelesaikan siasatan berhubung isu yang tular ini.
"Saya juga dengan rendah diri memohon maaf kepada Datin Noor Kartini Noor Mohamed serta keluarga di atas kecuaian saya yang menimbulkan masalah kepada Datin Noor Kartini sekeluarga.
"Dengan ini saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dan sekali lagi memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku," tulisnya.
Tinjauan Harian Metro di akaun Instagramnya mendapati individu ini bukanlah pengguna Instagram yang aktif memandangkan hantaran terbaru yang dimuat naiknya di platform media sosial itu pada 22 Mei lalu.
Sebelum itu, Zulshafiqah juga tidak aktif memuat naik hantaran di 'feed' Instagram dan kali terakhir dibuatnya pada 2 Ogos 2018.
Terdahulu, netizen menyelar tindakan akaun Instagram Noor Kartini yang memuat naik hantaran di Instagram Story dan menulis kenyataan berbaur hinaan terhadap Sultan Johor.
Namun, Noor Kartini tampil membuat laporan polis dan menafikan
dirinya memuat naik hantaran itu, sebaliknya dia mendakwa ia adalah
tindakan pengurus media sosialnya.
No comments:
Post a Comment