Pejuang Palestin janji agihan bantuan secara telus, tak berat sebelah
GAZA – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berikrar tidak menyentuh ‘satu sen pun’ bantuan antarabangsa untuk membina semula Gaza susulan serangan negara pengganas Israel yang merosakkan wilayah yang diperintahnya.
Ketua sayap politik kumpulan itu, Yahya Sinwar menjanjikan pengagihan bantuan secara telus dan tidak berat sebelah selepas serangan 11 hari ditamatkan.
Usaha diplomatik sedang dilakukan bagi mengukuhkan gencatan senjata yang rapuh di Mesir yang menghentikan serangan, dengan rancangan membina semula Semenanjung Gaza di mana serangan udara Israel merosakkan infrastruktur dan meratakan bangunan.
“Kami mengalu-alukan sebarang usaha antarabangsa atau Arab untuk membangun semula Semenanjung Gaza.
“Saya menegaskan komitmen kami untuk tidak mengambil satu sen pun yang bertujuan untuk pembinaan semula dan usaha kemanusiaan.
“Kami tidak pernah mengambil satu sen pun di masa lalu,” tegas Sinwar pada sidang akhbar di Bandar Gaza.
Semalam, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, semua bantuan akan diberikan dengan cara yang menguntungkan rakyat Palestin.
Israel – yang telah melakukan sekatan darat dan maritim di wilayah Palestin sejak 2007 – mendakwa kumpulan itu – Hamas – mengalihkan bantuan antarabangsa bagi tujuan ketenteraan.
Seorang pegawai Kementerian Pertahanan Israel berkata, semua dana ke Gaza harus bergerak melalui ‘mekanisme’ antarabangsa untuk sampai ke penduduk secara langsung.
Antara 10 Mei dan 21 Mei, serangan udara Israel dan tembakan artileri membunuh 254 penduduk Palestin, termasuk 66 kanak-kanak dan beberapa pejuang, kata pihak berkuasa di Gaza.
Roket dan tembakan lain dari Gaza meragut 12 nyawa di Israel, termasuk seorang kanak-kanak, seorang remaja Arab-Israel dan seorang tentera Israel, menurut polis. – Agensi
No comments:
Post a Comment