Oleh Media Mulia
PETALING JAYA: Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama akan dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes. Setakat hari ini, seramai 2,552 orang meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat.
“Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pantas turut mempengaruhi keputusan hari ini,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan terrsebut, dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad.
Katanya, jika penutupan penuh itu berjaya mengurangkan kes-kes harian
Covid-19, kerajaan akan melaksanakan ‘lockdown’ fasa kedua iaitu dengan
membenarkan pembukaan semula beberapa sektor
ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.
“Lockdown fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir. Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini yang mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan,” katanya.
Tambah kenyatan itu, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.
“Penilaian dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19. Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.
“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh
beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti
kelompok di negara ini. Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan
penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan
memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang
terkesan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment