Ramai yang mengadu
diberikan slot suntikan AstraZeneca walaupun sebelum ini tidak memohon
vaksin pilihan itu dan mendaftar untuk vaksin lain di bawah PICK.
Pendaftaran secara besar-besaran kerajaan Selangor untuk vaksin pilihan AstraZeneca tanpa persetujuan orang ramai dikenal pasti sebagai punca kekeliruan temu janji vaksinasi, menurut siasatan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).
“CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai ini dilakukan menerusi alamat IP yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca maka menggantikan janji temu yang diberi sebelum ini, sekiranya ada.”
Kenyataan ini dikeluarkan selepas terdapat rungutan ramai yang diberikan slot vaksin AstraZeneca walaupun sebelum ini mendaftar untuk vaksin lain di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Kerajaan sebelum ini menawarkan AstraZeneca secara sukarela di bawah PICK selepas orang ramai bimbang dengan jenama itu selepas laporan tentang pembekuan darah selepas menerima vaksin itu.
Menurut CITF, pihak SELangkah, aplikasi pengesanan kontak yang digunakan kerajaan negeri Selangor memberi jaminan untuk bekerjasama.
“Bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya.
“Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai,” menurut kenyataan itu lagi.
Rabu lalu, orang ramai menyatakan rasa tidak puas hati kerana gagal membuat tempahan slot untuk suntikan vaksin AstraZeneca, meskipun vaksin ditawarkan dalam jumlah yang besar.
MalaysiaNow sebelum ini melaporkan laman sesawang PICK mengalami masalah teknikal selepas pendaftaran vaksin AstraZeneca dibuka kepada orang ramai di beberapa negeri.
Slot suntikan vaksin habis ditempah kurang dua jam selepas dibuka pada tengah hari, dengan 1.2 juta berjaya menempah slot.
No comments:
Post a Comment