KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas imam dan pendakwah yang menyampaikan kuliah bertentangan dasar kerajaan untuk memerangi penularan pandemik COVID-19.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman, berkata pihaknya sedang mengenal pasti penceramah dan imam yang menyebarkan dakyah tidak selari dengan dasar kerajaan.
Katanya, dalam keadaan sekarang, pihak majlis mengharapkan pegawai masjid, imam dan penceramah yang mempunyai tauliah MAIK supaya memberi ceramah atau tazkirah mengenai vaksin untuk mengalakkan lebih ramai masyarakat mendapatkan suntikan vaksin.
"Sekiranya kita mengenal pasti ada penceramah atau imam cuba mempengaruhi pemikiran rakyat dengan ceramah yang bertentangan dasar kerajaan, mereka (imam atau pegawai masjid) yang terbabit akan dipanggil untuk diambil tindakan sewajarnya sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
"Kita belum mendapat aduan mengenai perkara ini. Namun kerajaan negeri ada memaklumkan kepada MAIK supaya mengenal pasti mereka dan tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan MAIK kepada Pusat Pemberian Vaksin (PVV) Pasir Mas di Lobi MAIK, di sini, hari ini.
Terdahulu, Zulkifle menyerahkan sumbangan berkenaan yang diwakili Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid. Hadir sama, Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli.
Pada majlis itu, MAIK menyerahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan bernilai hampir RM10,000 bagi kegunaan petugas barisan hadapan dan petugas di PPV Pasir Mas.
Barangan keperluan yang disumbangkan adalah 500 pelindung muka, 200 botol cecair pembasmi kuman, 220 pelitup muka fabrik, 500 botol air minuman dan 500 pek makanan.
Mengulas lanjut, Zulkifle berkata, tindakan penceramah atau imam yang menyampaikan pengajaran kuliah bertentangan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak serta Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan boleh mengundang bahaya dan kebelakangan ini, kes harian COVID-19 semakin meningkat.
"Kita tidak ada pasukan khas bagi memantau keadaan ini, namun kita bekerjasama rapat dengan ketua jajahan supaya jika ada pelanggaran sama ada melalui ceramah atau prosedur operasi standard (SOP) maka akan dikenakan tindakan susulan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, melarang sebarang penyampaian dan pengajaran kuliah bertentangan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak serta Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata larangan itu dibuat selepas pihaknya mendapati segelintir pendakwah, termasuk pemegang tauliah mengajar MAIK, membuat kenyataan bertentangan dasar kerajaan berhubung perkara terbabit.
Perkara berkenaan memberi kesan negatif terhadap langkah kerajaan membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak dalam masyarakat negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Zulkifle berkata, pertambahan kluster yang membabitkan jemaah masjid turut bertambah dan pihaknya mengesan seorang imam tua Masjid Telipot disahkan positif COVID-19.
"Kita masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung SOP berkaitan 'total lockdown di negeri ini.
"Buat masa ini masjid jajahan hanya dibenarkan 50 orang pada satu-satu masa untuk solat fardu dan masjid mukim dibenarkan hanya empat orang terdiri daripada jawatankuasa masjid," katanya.
No comments:
Post a Comment