KUALA LUMPUR: Tiada sekelumit perasaan menyesal dalam diri apabila mengambil keputusan meninggalkan dunia persada seni ketika namanya berada di kemuncak.
Namun, demi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga dibina ketika berusia 17 tahun, bintang veteran, Salmah Ahmad akhirnya nekad bersara.
Tenang menjalani kehidupan selepas tidak bergelar bintang, Salmah berkata, dia tidak sanggup berdepan dengan onak duri sebagai anak wayang antara sebab tidak mahu meneruskan kerjaya lakonan.
Katanya, antara peristiwa yang masih segar dalam ingatan dan menjadi punca hatinya tekad meninggal pentas seni disebabkan diserang isteri seorang aktor handalan di lokasi penggambaran gara-gara cemburu.
Salmah atau nama sebenarnya, Salmah Lagio berkata, wanita berkenaan menuduhnya mempunyai skandal dengan aktor berkenaan berdasarkan sekeping gambar.
"Isteri aktor berkenaan mengacau saya di lokasi penggambaran. Malah, dia juga menuduh saya mempunyai hasrat merampas suaminya hanya kerana kami digandingkan bersama. Dia menyimpulkan saya mempunyai niat jahat apabila bergandingan dalam filem bersama suaminya.
"Tuduhan dibuat selepas melihat sekeping gambar yang memaparkan saya dan suaminya membaca skrip bersama, sedangkan ada ramai orang di sekeliling ketika gambar diambil.
"Geram dengan perbuatannya, saya beri amaran supaya tidak mengganggu atau saya akan melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya kepada ketika ditemui pada majlis Seloka Legenda - Bicara Bintang Legenda Bersama Seniwati Datuk Rosnani Jamil dan Salmah Ahmad yang berlangsung di Lembaga Pelancongan Malaysia (MATIC), baru-baru ini.
Salmah yang popular dengan watak pontianak menjelaskan, dia tidak menjalinkan hubungan dengan aktor yang dimaksudkan kerana sudah bergelar isteri pada waktu itu.
"Hubungan kami profesional dan berlakon bersama atas kehendak syarikat produksi. Lagipun, saya sudah berkahwin ketika mula menceburkan diri dalam dunia lakonan.
"Saya menjelaskan perkara ini kepada wanita berkenaan. Jika benar saya mahu merampas suaminya, lebih baik saya buat secara senyap-senyap. Jujurnya, perkara seumpama inilah membuatkan saya tawar hati untuk terus berlakon.
"Buat baik macam mana sekalipun, orang tetap akan tuduh buat jahat," ujar pelakon filem Pontianak dan Jula Juli Bintang Tiga itu.
No comments:
Post a Comment