Georgetown: Berusia 12 tahun sudah menjadi perokok tegar, begitu aduan yang diterima Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) daripada ibu bapa di negeri ini yang risau mengenai aktiviti tidak sihat anak mereka.
Ibu bapa berkenaan turut melaporkan bimbang anak mereka tidak dapat menghentikan tabiat itu pada usia berkenaan.
Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow mendedahkan bahawa menerusi aduan daripada ibu bapa itu turut mendakwa anak mereka akan marah dan bertengkar sekiranya diberitahu mengenai bahaya rokok dan rokok elektronik (vape).
"Ramai ibu bapa yang mengadu kecewa kerana tidak dapat 'menyembuhkan' tabiat menghisap rokok dalam kalangan anak mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, kanak-kanak itu menghabiskan kira-kira RM50 sehingga RM150 sebulan bagi rokok dan rokok elektronik.
Katanya, ibu bapa juga mendakwa anak mereka berbohong ketika meminta wang bagi membeli rokok dengan mengatakan bahawa ada kelas tambahan dan perlu membeli buku.
"Timbul persoalan bagaimana mereka mendapatkan wang sejumlah bagi membeli rokok dan vape.
"Penuntut universiti membeli rokok dan peralatan vape dengan menggunakan dana biasiswa pendidikan yang tersedia kepada mereka.
"Ia seperti bom jangka kerana jika tidak dicegah, mungkin kita sudah tidak dapat melihat komuniti belia yang sihat pada masa depan, " katanya lagi.
Menurut Subbarow, bagi menasihati anak-anak, ibu bapa dicadangkan supaya bercakap dengan nada rendah sebelum mendidik mengenai bahaya rokok dan vape.
"CAP terus mendesak kerajaan bagi mengharamkan rokok dan vape terutama dalam kalangan pembeli bawah umur serta menjadikan kita sebagai pemenang dan bukan sebagai pesakit," katanya.
No comments:
Post a Comment