Oleh NUR HUDA MUSA
PETALING JAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan keadaan di unit rawatan rapi (ICU) hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) kini melebihi kemampuan untuk merawat pesakit.
Beliau melalui perkongsian di Twitter rasminya berkata, keadaan itu juga memaksa para doktor untuk membuat pilihan sukar mengutamakan katil ICU bagi pesakit berpotensi sembuh yang tinggi.
“Apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan kami untuk merawat, maka doktor terpaksa buat pilihan sukar untuk utamakan katil ICU bagi pesakit berpotensi sembuh yang tinggi berbanding pesakit yang berpotensi sembuh rendah. Terkini, inilah hakikat sebenar.
“Bilik simpanan mayat di hospital-hospital KKM kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung jumlah jenazah atau mayat susulan peningkatan kematian akibat Covid-19,” ciapnya tadi.
Sehubungan itu katanya, pihak perkhidmatan perubatan forensik telah menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk jenazah atau mayat.
“Kontena jenazah di lima buah hospital iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Queen Elizabeth I dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Setiap kontena boleh menampung maksimum 20 jenazah dan ‘fleximort’ maksimum 12 jenazah,” jelasnya.
Ditanya oleh seorang netizen, @christinepamela adakah semua hospital swasta juga mencapai kemampuan maksimum, Noor Hisham berkata, pihak swasta kini berada di tahap lebih daripada 60 peratus.
Perkongsian Noor Hisham itu setakat ini mendapat perhatian netizen dengan rata-ratanya mengharapkan orang ramai kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membantu meringankan beban petugas kesihatan.
Seorang netizen, @fatma_jfholiMY berkata, ini hakikat yang terpaksa diterima dan dia berharap pandemik akan berakhir dengan kebijaksanaan rakyat mematuhi SOP.
Tidak kurang juga ada netizen yang turut menggesa pemberian vaksin disegerakan supaya penularan wabak ini dapat dibendung. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment