PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menganggarkan keperluan antara 100,000 hingga 150,000 tan beras dalam tempoh dua minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, yang bermula esok.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jumlah itu termasuk sekiranya berlaku pembelian panik oleh orang ramai.
Menurutnya, bekalan beras itu dapat ditampung berdasarkan kedudukan stok beras semasa sebanyak 764,000 tan pada masa ini yang berada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
"Bagi memastikan bekalan dan pengeluaran beras berterusan dan tidak terganggu, MAFI akan memastikan proses penanaman dan operasi kilang padi serta beras dapat beroperasi pada kadar yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Ini termasuklah kebenaran pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh berkenaan.
"Penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MAFI berkata, pengedaran beras di peringkat pemborong dan peruncit juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan setiap pelusuk daerah dan kawasan tidak terjejas dengan bekalan makanan utama itu.
Bagi stok semasa bekalan ikan negara pula, Ronald menganggarkan keperluan 185,000 tan sebulan ketika sekatan pergerakan penuh berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan.
"Sejumlah 89 Pasar Nelayan dan 33 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh sekatan berkenaan.
"Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ia tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SOP yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Ronald turut memaklumkan berdasarkan data bekalan komoditi, bekalan daging, ayam, telur dan susu turut mencukupi untuk keperluan negara.
"Untuk Jun ini, bekalan daging lembu dan kerbau dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan, manakala bekalan daging ayam adalah sebanyak 125,067.61 tan.
"Bekalan telur ayam untuk Jun pula dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan bekalan susu segar sebanyak 4,147,608.10 liter," katanya.
Tambahnya, bagi menjamin akses orang ramai terhadap keperluan bekalan makanan, MAFI turut membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara.
"Ia terdiri daripada 24 Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet, 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar berbanding 63 lokasi yang dibuka ketika PKP 1.0 yang lalu.
"Pengurangan ini disebabkan pelaksanaan SOP yang diperketatkan oleh MKN bagi menangani penularan gelombang ketiga COVID-19 yang kian meningkat," katanya.
Berikutan itu, Ronald berkata, bagi melancarkan semua aktiviti, pemain industri dan usahawan yang terbabit dalam rangkaian dan rantaian sektor berkaitan dinasihatkan untuk berhubung dengan Jabatan atau agensi bawah MAFI bagi mendapatkan surat pengesahan.
Ronald menegaskan MAFI akan terus komited untuk membantu pemain industri dan juga golongan petani, penternak dan nelayan dalam memastikan sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas berikutan penutupan sektor ekonomi dan sosial.
"Saya juga menyeru semua pengusaha agromakanan termasuk petani, penternak dan nelayan sentiasa patuh kepada SOP ditetapkan oleh MKN dan menjaga kesihatan diri sepanjang masa.
"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat pembelian panik dan 'stock-piling' bahan makanan secara berlebihan yang boleh mengakibatkan keadaan di mana terdapat ketidaksamarataan dari segi akses bekalan makanan kepada orang ramai.
"MAFI juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta kementerian yang lain dalam memastikan bekalan makanan negara terus berada dalam tahap yang stabil, mencukupi dan terkawal sepanjang masa," katanya.
No comments:
Post a Comment