Thursday, May 27, 2021

Kementerian Luar ‘jejaki’ Dr. Nur

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

PUTRAJAYA: Kementerian Luar tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian  ‘Dr. Nur’ yang dikatakan ditahan pihak Israel yang kini qtular.

Menurut kenyataan Kementerian itu, perkara itu menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada beliau.

Menurutnya, semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama Dr. Nur yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.

Dalam masa sama, Kementerian Luar telah pun berhubung dengan pihak-pihak berkuasa negara ini untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan Dr. Nur.

“Kementerian Luar telah mengumpul maklumat berkenaan laporan yang dikemukakan oleh orang awam termasuk tangkap layar hantaran-hantaran di media sosial yang dibuat orang awam berhubung insiden yang menimpa ‘Dr. Nur’.

“Maklumat tersebut dipanjangkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, Kementerian Luar juga telah cuba menghubungi dua individu yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bernama Dr. Aida dan Dr. Shafiq bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Dr. Nur namun kedua-dua mereka tidak dapat dihubungi.

Katanya, maklumat lanjut mengenai perkara ini penting untuk pihak Kementerian mencari jalan penyelesaian membantu Dr. Nur.

Pada masa sama, Kementerian Luar menggesa individu-individu serta pemilik akaun Instagram @iesya_toh dan @nurhelizahelmi untuk segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan Dr. Nur.

“Mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan Dr. Nur turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.

“Kementerian Luar Negeri sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara,” katanya.

Kementerian Luar menjelaskan, Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya warganegara Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan.

Warganegara Malaysia disaran untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa Dr. Nur dikatakan ditahan pihak Zionis ketika memasuki sempadan kem bagi memberi rawatan perubatan kepada rakyat Palestin.

Pegawai Perubatan itu juga didakwa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, luka teruk di bahagian dada, patah tangan, selain ditembak di kaki kerana melawan tentera terbabit. – UTUSAN

No comments: