Tuesday, May 25, 2021

Berkahwin dalam kapal terbang di udara, elak sekatan Covid-19

Oleh Aznan Bakar

Gambar dari media sosial menunjukkan sebuah kapal terbang padat dengan penumpang.

BANGALORE: Untuk mengelakkan daripada sekatan mengadakan keraian akibat pandemik Covid-19, satu pasangan di India telah menyewa sebuah kapal terbang untuk mengadakan majlis perkahwinan di udara bersama 160 tetamu mereka.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pasangan itu bersama tetamu mereka padat dalam sebuah pesawat yang disewa.

Ini ekoran negeri Tamil Nadu di mana pesawat itu disewa telah mengenakan sekatan yang ketat dengan majlis perkahwinan hanya dihadkan kepada 50 tetamu sahaja.

Laporan menyebut pihak berkuasa penerbangan India sedang menyiasat perkara itu.

Pegawai dari pejabat Ketua Pengarah Penerbangan Awam India memberitahu Time of India bahawa kakitangan Spicejet dalam penerbangan itu telah direhatkan dari tugas.

Jurucakap Spicejet memberitahu Indian Express bahawa pesawat Boeing 737 telah disewa dari Madurai ke Bangalore oleh agensi pelancongan selepas majlis tersebut.

Katanya, pelanggan telah diberi penerangan yang jelas tentang garis panduan Covid-19 yang perlu dipatuhi dan menafikan memberi kebenaran bahawa apa sahaja aktiviti boleh dilakukan ketika penerbangan.

No comments: