Tuesday, May 25, 2021

Belum ada lagi kuota rasmi jemaah haji Malaysia

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI 

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI

PUTRAJAYA: Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) setakat ini mengakui belum lagi menerima jumlah sebenar kuota jemaah haji Malaysia bagi musim ibadah fardu itu kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika mengesahkan berkata, kerajaan Arab Saudi belum lagi memuktamadkan perkara itu.

“Secara rasmi, pihak kerajaan Malaysia dan Tabung Haji masih lagi menunggu pengumuman rasmi yang terus daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau merujuk beberapa laporan media tempatan dan asing berhubung perkembangan isu ibadah Rukun Islam yang kelima itu bagi musim haji 1442H sekitar pertengahan Julai ini.

Antaranya, dilaporkan Arab Saudi dijangka kononnya hanya membenarkan sejumlah 60,000 jemaah asing meliputi 60 negara sahaja dengan setiap negara itu cuma kuota 1,000 orang.

Ketika musim 1441H lalu, negara berkenaan menutup pintu sempadan antarabangsa dengan membenarkan 10,000 jemaah termasuk penduduk asing yang bermastautin di Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Tabung Haji sedang giat membuat persediaan operasi di tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal jemaah.

“Persiapan awal diperkukuhkan mengambil kira norma baharu di stesen berlepas selain di Makkah dan Madinah meliputi penginapan, pengangkutan, sajian dan lain-lain,” kata beliau.

Tabung Haji ujarnya, juga beberapa kali bermesyuarat secara berkala dengan Kementerian Kesihatan bagi persediaan menangani urusan kesihatan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Bakal jemaah jelasnya, turut disarankan segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi memenuhi prasyarat wajib ditetapkan Arab Saudi selaras protokol kesihatan yang ketat.

Beliau juga menasihatkan bakal jemaah untuk bersabar dan membuat persiapan dari sudut ilmu, jasmani dan rohani agar pelaksanaan ibadah haji di Tanah Suci berjalan lancar kelak.

Kerajaan Malaysia tegas beliau, akan mengumumkan keputusan kepada bakal jemaah terlibat sejurus setelah menerima kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan Arab Saudi sendiri.

“Mewakili kerajaan Malaysia, saya menjunjung kasih atas keprihatinan Khadimul Haramain al-Syarifain, Raja Salman Abdulaziz atas komitmen menyantuni bakal jemaah,” kata Zulkifli. – UTUSAN

No comments: