Jumaat, 23 April 2021

USM ke-39 terbaik dunia laksana amalan kelestarian

 Oleh KHUZAIRI ISMAIL

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) di sini menduduki tempat ke-39 dalam penarafan atau ranking impak global Times Higher Education (THE) 2021 dalam pelaksanaan amalan kelestarian.

Di peringkat Asean, USM secara keseluruhannya menduduki tangga kedua dalam penarafan ranking itu dan kelima di Asia di belakang Chulalongkorn University, Thailand (23 dunia).

Ini berdasarkan pengumuman terbaharu oleh badan berkenaan yang dikeluarkan kelmarin membabitkan lebih 1,200 institusi di 98 negara dan rantau di seluruh dunia.

Kedudukan tersebut merupakan yang tertinggi di antara kesemua institusi pengajian tinggi negara ini setelah melonjak dari kedudukan 65 tahun lalu.

USM dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pencapaian terbaharu itu semakin mengukuhkan kedudukan universiti berkenaan sebagai antara institusi terbaik dunia dalam menyelesaikan cabaran globalisasi berkaitan kemanusiaan.

“Selain berada di kedudukan 50 teratas dalam ranking keseluruhan, USM juga menunjukkan prestasi yang membanggakan iaitu di kedudukan kelapan sunia untuk SDG16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh),” demikian menurut kenyataan itu.

Antara universiti terkenal lain yang tersenarai dalam ranking terbaharu itu adalah King Abdulaziz University, Arab Saudi (46); Trinity College Dublin, Republik Ireland (57); University of Liverpool, United Kingdom (72); Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat (76) dan Deakin University, Australia (79).

Ini adalah tahun ketiga berturut-turut USM menyertai Ranking Impak THE yang menilai pelbagai usaha berkaitan kelestarian yang dilakukan oleh universiti di seluruh dunia.

University of Manchester, United Kingdom berada pada kedudukan pertama keseluruhan sementara kedudukan 10 teratas dikuasai oleh universiti dari Australia. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: