Rabu, 28 April 2021

Pihak berkuasa terkhilaf keluarkan kompaun RM50,000?

Oleh ZAAIN ZIN
TANGKAP layar keluhan peniaga burger yang dikompaun RM50,000 di Kota Bharu, Kelantan yang tular semalam. - MEDIA SOSIAL

KOTA BHARU: Pihak berkuasa didakwa terkhilaf apabila mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada dua peniaga kerana beroperasi melebihi tempoh waktu ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga perkara itu tular semalam.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang terkini, pemegang lesen tidak mematuhi waktu operasi boleh dikompaun sehingga RM2,000 bagi individu dan RM10,000 bagi perbadanan.

Katanya perkara itu terkandung dalam Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sehubungan itu, jumlah kompaun ditulis di atas kertas saman itu ternyata khilaf kerana di luar peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini

Menurut Che Ibrahim, susulan kekhilafan itu, kerajaan digesa memohon maaf secara terbuka kepada dua orang peniaga yang disaman dan diberi notis kompaun RM50,000 terbabit.

“Kesilapan pegawai bertugas menulis jumlah kompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan tersebut telah menimbulkan keresahan dan menganggu emosi bukan sahaja mangsa yang kena saman, tapi masyarakat keseluruhannya.

“Oleh itu kerajaan wajar memohon maaf atas kesilapan tersebut,” tegas beliau.

Terdahulu, tular seorang peniaga burger dikenali sebagai Wan Mohd. Faisal berkongsikan kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 oleh polis ketika sedang berniaga di hadapan rumah sendiri di akaun Facebook miliknya.

Difahamkan, seorang lagi peniaga turut dikompaun amaun sama kerana didapati beroperasi melebihi tempoh waktu dibenarkan ketika PKP.

Kelantan kini dikenakan PKP sehingga 29 April depan, susulan kes positif Covid-19 yang terus melonjak naik termasuk hari ini dengan 343 kes dan kekal sebagai tiga negeri paling tinggi kes jangkitan pandemik tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: