Jumaat, 23 April 2021

Mara siasat isu pemeriksaan datang bulan

Oleh OMAR ZIN
AZIZAH MOHD. DUN

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan mengatakan sebuah sekolah melakukan ‘pemeriksaan datang bulan’ terhadap pelajar perempuan bagi mengenal pasti mereka yang ponteng solat dan puasa.

Beliau berkata, Mara memandang serius dakwaan tersebut kerana ia melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Katanya lagi, Mara tidak berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan anggota kerjanya demi keselamatan pelajar di Institusi Pendidikan Mara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terbabit mengikut peruntukan peraturan sedia ada demi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat dan bebas daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak.

“Mara juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan imej dan kredibiliti Institusi Pendidikan Mara (IPMA) sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan dan Mara digesa untuk menyiasat dakwaan penderaan dan gangguan seksual guru kepada pelajar.

All Women’s Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls) menyifatkan dakwaan alat sulit pelajar diperiksa bagi memastikan tiada barangan larangan dibawa adalah satu perkara yang membimbangkan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: