Rabu, 28 April 2021

Vaksin AstraZeneca diberikan kepada orang ramai secara sukarela, kata Khairy

Farhira Farudin

Vaksin AstraZeneca hanya akan disediakan kepada orang ramai yang mendaftar untuk janji temu di pusat pemberian vaksin khas.

Kerajaan bersetuju vaksin AstraZeneca akan diberi kepada orang ramai secara sukarela melalui pusat pemberian vaksin khas, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Katanya, penggunaan vaksin AstraZeneca hanya akan disediakan kepada orang ramai yang mendaftar untuk janji temu di pusat pemberian vaksin khas.

“Kita ingin umumkan bahawa vaksin AstraZeneca tidak akan digunakan dalam program vaksin biasa, kita akan membuka pusat pemberian khas bagi vaksin AstraZeneca,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Jadi, kita ambil langkah proaktif untk kita terus guna vaksin AstraZeneca .”

Beliau berkata keputusan ini dibuat atas dasar kebimbangan orang ramai tentang keberkesanan vaksin AstraZeneca.

“Kita tak nak bazirkan vaksin yang selamat dan berkesan ini.

“Tapi kita memahami mungkin sains dan fakta tidak dapat mengatasi kebimbangan orang ramai dan berita palsu yang tular tentang vaksin ini,” katanya.

Menurut Khairy, 268,600 dos pertama vaksin AstraZeneca akan diberikan kepada penduduk Selangor dan Kuala Lumpur sebagai permulaan.

Katanya, ini kerana kes harian Covid-19 yang masih tinggi di kedua-dua negeri berkenaan.

“Keputusan ini dibuat oleh menteri kesihatan dan saya atas pertimbangan kawalan wabak.

“Kes harian di Selangor dan Kuala Lumpur masih lagi tinggi jadi kita buat keputusan untuk memberi 268,600 dos kepada Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Khairy juga berkata orang ramai berumur 18 tahun ke atas boleh membuat pendaftaran dalam satu sistem tempahan khas yang dibuka untuk janji temu.

“Ia akan dilaksanakan berdasarkan kaedah first come first serve kepada semua. Kita tak hadkan kepada golongan fasa dua sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: