Rabu, 28 April 2021

30 sekolah di S'gor ditutup 2 hari lepas kes positif dikesan

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Kes Covid-19 dikesan di sekurang-kurangnya 30 buah sekolah di Selangor baru-baru ini, menyebabkan penutupan sekolah secara bersasar sekali lagi.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam satu pekeliling kepada 30 pengetua dan guru besar sekolah hari ini, mengarahkan penutupan sekolah tersebut selama dua hari.

Penutupan berkuat kuasa 28 April (hari ini) hingga 29 April (esok).

“JPNS telah menerima laporan bahawa terdapat kes Covid-19 yang berlaku di sekolah tuan.

Sehubungan dengan itu, sekolah tuan diarahkan tutup selama dua hari iaitu 28 April dan 29 April. Penutupan ini bagi membolehkan ujian saringan kontak rapat dan penilaian risiko dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” kata pekeliling itu lagi.

Ia turut meminta sekolah-sekolah berkenaan untuk melakukan pembersihan serta sanitasi semasa tempoh penutupan.

JPNS juga meminta sekolah terlibat untuk berbincang dengan PKD bersama-sama pegawai pendidikan daerah pada hari pertama penutupan untuk menentukan jika penutupan sekolah perlu dilanjutkan.

JPNS juga berkata guru dan pelajar dikehendaki melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) buat masa ini.

Susulan peningkatan kes Covid-19 di sekolah, kerajaan mengumumkan sekolah akan tutup selama lebih sebulan bermula 7 Mei ini.

Pada masa ini, penutupan sekolah hanya dilakukan mengikut keperluan apabila berlakunya kes Covid-19 di sekolah tersebut.

Berdasarkan pekeliling itu, sekolah-sekolah terbaru di Selangor yang ditutup sementara ialah:

Klang: SJKC Perempuan, SJKC Tshing Nian, SJKC Ying Wah, SMK Tengku Ampuan Jemaah, SK Klang,

Kuala Selangor: SMK Raja Muda Musa, SJKC Chung Wah, SK Sungai Burung

Sepang: SMK Putra Perdana, SMK Cyberjaya, SK Sungai Rawang

Petaling Perdana: SMK Bandar Puchong Jaya A, SK Setia Alam, SJKC Shin Cheng (Harcroft), SMK Puchong Perdana, SK Pusat Bandar Puchong 2, SMK Seri Kembangan, SJKC Yak Chee

Gombak: SK Sg Pelong, SK Hulu Klang

Petaling Utama: SJKC Damansara, SJKC Sungai Buloh, SMK Kelana Jaya

Hulu Langat: SK Sungai Ramal Dalam, SK Bukit Raya, SK Dusung Nanding, SJKC Batu Sebelas, SJKT Ladang Rinching, SK Desa Baiduri, SK Bandar Baru Bangi

Tiada ulasan: