Isnin, 26 April 2021

Penyeludup ‘ligat’ waktu buka puasa, tarawih

Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
LOKASI di sekitar Kuala Perlis yang menjadi antara lokasi tumpuan aktiviti penyeludupan.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

KANGAR : Ketika umat Islam berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, penyeludup pula dikatakan ‘ligat’ pada waktu tersebut dengan melakukan aktiviti penyeludupan ketum khususnya di kawasan perairan Kuala Perlis di sini.

Mereka dikatakan mengambil kesempatan pada waktu tersebut bagi memunggah serta meninggalkan daun ketum di muara-muara kuala di beberapa kawasan berhampiran pangkalan haram di situ sebelum diambil individu lain dengan menggunakan bot.

Difahamkan kira-kira 10 hingga 15 daripada 52 pangkalan haram di Kuala Perlis menjadi antara lokasi tumpuan penyeludup menjalankan kerja-kerja terlarang itu ketika ini.

Daun ketum yang dibawa dengan kenderaan selepas diambil dari mana-mana kebun itu lazimnya dihantar ke kawasan pangkalan haram tertentu dengan sekumpulan pekerja sudah sedia menunggu di lokasi tersebut.

Penyeludup kemudian dikatakan meninggalkan barang di situ dengan pekerja dalam kelompok yang ramai itu akan memunggah barangan itu ke dalam bot.

Kerja-kerja memindahkan barangan terlarang itu sangat pantas antara lima hingga 10 minit sebelum daun ketum tersebut dibawa oleh bot ke kawasan sempadan dengan jarak sekitar 1.3 batu nautika seterusnya diambil oleh pihak dari negara jiran.

Bot gentian dengan enjin sangkut bergalah (ekor biawak) dipercayai milik nelayan tempatan itu lazimnya digunakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, aktiviti penyeludupan ketum pada bulan Ramadan dilihat masih aktif dengan tertumpu di pangkalan-pangkalan haram tertentu.

Katanya, penyeludup dikatakan hanya membawa daun berkenaan dalam kuantiti sekitar 50 kilogram (kg) sehingga 400 kg sahaja.

“Pada bulan Ramadan ini, mereka (penyeludup) selalu melakukan kerja-kerja seludup ini khususnya pada waktu berbuka puasa dan ketika solat tarawih,” katanya.

Tambah Mohd. Shafie, pergerakan penyeludup dikesan beralih ke lokasi lain iaitu pangkalan-pangkalan haram yang sebelum ini bukan menjadi tumpuan mereka.

“Mereka cuba berubah tempat bukan tertumpu pada satu-satu tempat sahaja yang kadang-kala lokasi yang tidak dijangka.

“Antara lokasi tumpuan adalah seperti di Pulau Ketam dengan beberapa kes direkodkan di kawasan itu baru-baru ini. Malah, kadang-kala di jeti yang digazetkan juga ada berlaku aktiviti penyeludupan itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie memberitahu, meskipun penyeludup terbabit cuba menggunakan pelbagai helah dan taktik melakukan kerja haram itu, namun aktiviti tersebut bagaimanapun sering kali berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Malah kata Mohd. Shafie, pihaknya sentiasa mempertingkatkan rondaan termasuk sepanjang bulan Ramadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan itu. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: