PADAWAN: Seorang pekerja bistro ditahan kerana disyaki merogol teman wanitanya, yang mempunyai masalah lembam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong, berkata lelaki berusia 20 tahun dari Kampung Siga, Siburan itu ditahan di sebuah kafe di Siburan, kira-kira jam 4.30 petang, 24 April lalu.
Katanya, penahanan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis yang dibuat sepupu mangsa, pada 23 April lalu.
"Suspek mengaku ada melakukan hubungan seks dengan mangsa tetapi atas dasar suka sama suka.
"Suspek sudah lama mengenali mangsa iaitu sejak dari sekolah menengah dan mengaku mangsa adalah teman wanitanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jaw Shyong berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9 malam, 22 April lalu, apabila suspek pergi ke rumah mangsa di Batu 19 Jalan Kuching-Serian, yang terletak bersebelahan rumah sepupu mangsa.
Bagaimanapun, katanya, perjumpaan pasangan kekasih itu disedari oleh sepupu mangsa yang kemudian melihat kedua-duanya berada di dalam bilik tanpa berpakaian.
Katanya, ketika itu, tiada orang di rumah kerana mangsa tinggal bersama sepupunya sejak Mac lalu, berikutan bapa mangsa dirawat di Hospital Umum Sarawak akibat sakit buah pinggang sementara emaknya menjaga bapanya.
"Mangsa juga mengaku ada melakukan hubungan seks dengan suspek, yang dikenalinya lebih setahun lalu atas dasar suka sama suka dan pada hari kejadian adalah kali pertama mereka melakukan hubungan seks," katanya.
Jaw Shyong berkata, oleh kerana mangsa yang berusia 22 tahun mempunyai masalah lembam, mangsa dipercayai hanya dijadikan mangsa nafsu oleh suspek.
Katanya, mangsa tidak mempunyai sebarang kad orang kurang upaya (OKU) namun emaknya menyatakan dia memang tidak mampu berdikari menyebabkannya tidak dapat bekerja sehingga sekarang.
Beliau berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan reman dibenarkan sehingga 30 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan