PONTIAN: Peribahasa ada menyatakan ‘ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’. Itu adalah gambaran tepat bagi Faiznur Zulkifli, 33, pewaris legasi Kedai Songkok SMS di tengah-tengah bandar Pontian, di sini.
Ini kerana Faiznur sebelum ini pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Muar (MPM) selama tiga tahun sebelum meletak jawatan setelah bapanya, Allahyarham Zulkifli Mucak meninggal dunia pada 2017.
Kata Faiznur, setelah pemergian bapa, ibunya, Jumiarni Chatib, 61, hanya seorang diri menguruskan kedai mereka yang mula beroperasi pada 2005 dengan kadar sewa sebanyak RM1,500 sebulan.
Menurutnya, memang berat untuk meninggalkan jawatan yang disandang namun untuk meneruskan legasi pembuatan songkok, dia rela melepaskannya walaupun baru tiga tahun berkhidmat.
“Sebagai pemegang Diploma Perancang Bandar daripada Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) saya menerima jawatan di MPM pada 2014 sebaik sahaja menamatkan pengajian.
“Saya akui tiada asas dalam bidang jahitan pun, hanya melihat arwah bapa dan ibu menjalankan kerja-kerja membuat songkok bermula daripada membuat polan atau tapak seterusnya menjahit baldu.
“Ada juga sesekali semasa cuti semester saya cuba belajar menjahit dan tidak menduga saya mampu membuat songkok seperti mana arwah ayah lakukan dahulu termasuk membuat dasar atau tapak songkok tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Mengenai maksud SMS yang menjadi jenama mereka, Faiznur memberitahu, ia merupakan nama singkatan bagi tiga gunung di Sumatera, Indonesia iaitu Singalong, Merapi dan Sagu memandangkan kedua-dua ibu bapanya berasal dari sana.
Ditanya mengenai pengeluaran songkok, dia dan ibunya hanya menyiapkan sebanyak 20 songkok setiap hari berbanding arwah bapanya yang mampu membuat sehingga 100 songkok .
Katanya, meskipun permintaan songkok turut terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan persekolahan ditutup dan tiada majlis perkahwinan, namun pengeluaran 20 unit songkok tersebut terus dilakukan.
“Sama ada dapat dijual atau tidak dalam sehari, pengeluaran 20 buah songkok tetap dilakukan dan ia kelak boleh diguna untuk menampung permintaan menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang mungkin akan ada yang mencari aksesori itu untuk berhari raya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan