MALAYSIA NOW
Keputusan tersebut diambil selepas penilaian terhadap vaksin Covid-19 tersebut.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini mengumumkan vaksin Covid-19 AstraZeneca selamat dan berkesan di samping berkata ia akan digunakan untuk vaksinasi warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Bercakap dalam sidang media di Putrajaya, Adham berkata keputusan tersebut diambil selepas penilaian teliti terhadap vaksin itu dan mendapati manfaat vaksin itu melebihi kekurangannya.
Kementerian kesihatan dalam sebuah ciapan Twitter rasminya hari ini turut menjelaskan penggunaannya vaksin tersebut adalah selamat mengambil kira faktor risiko penggunaannya.
“Vaksin AstraZeneca adalah selamat digunakan selepas mengambil kira risiko pembekuan darah yang amat jarang berlaku.
“Vaksin ini akan digunakan untuk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas,” kata kementerian itu.
Pengumuman hari ini dibuat selepas tiga hari Malaysia menerima bekalan pertama vaksin tersebut melalui Covax, sebuah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menjamin akses global terhadap vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, kementerian kesihatan turut menjelaskan keputusan terbaru kerajaan menggunakan Astra Zeneca adalah berasaskan tiga perkara utama termasuk ia mampu mengurangkan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke unit rawatan rapi dan mengurangkan risiko kematian Covid-19.
Pada awal bulan ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata keputusan akan diambil mengenai suntikan vaksin AstraZeneca.
Beliau berkata kerajaan maklum mengenai laporan Agensi Perubatan Eropah (EMA) yang mengesahkan buat kali pertama wujud kaitan antara penggunaan AstraZeneca dan beberapa kes gumpalan darah selepas suntikannya.
Jawatankuasa keselamatan EMA berkata pada 7 April lalu bahawa gumpalan darah itu adalah kesan sampingan yang jarang berlaku bagi vaksin AstraZeneca.
Pada 12 April, Khairy berkata warga emas akan diberikan vaksin Sinovac keluaran China.
Menurutnya, vaksin Sinovac diteruma sebagai vaksin yang selamat, efektif dan stabil bagi vaksinasi warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Keputusan tersebut diambil selepas penilaian terhadap vaksin Covid-19 tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan