Khamis, 29 April 2021

Polis berkas ‘mat gian’ amuk, ugut cedera ibu

Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek 
berusia 40 tahun itu ditahan pada 12.45 tengah hari semalam. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki disyaki penagih dadah kerana mengamuk dan mahu mencederakan ibunya di sebuah rumah di Taman Sri Kerayong Kapar, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada 12.45 tengah hari.

“Anggota dari Balai Polis Kapar ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Setibanya di lokasi, wanita itu menunjukkan suspek berada di dapur rumah sebelum diberkas,” kata beliau, menurut laporan Sinar Harian.

Nurulhuda berkata, polis melakukan pemeriksaan pada badan suspek sebelum lelaki itu menyerahkan satu tiub straw mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 1.10g.

Kata beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis opiat.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kes dadah dan jenayah,” kata beliau.

“Suspek direman bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.”

Tiada ulasan: