Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
BATU KAWAN: Pada usia yang baru mencecah 29 tahun, Mohamad Faeez Yusof telah memberanikan diri mengambil risiko yang besar dengan menubuhkan syarikat bas persiaran kira-kira dua tahun lalu.
Sempat beroperasi hanya beberapa kali, dia yang berpengalaman sebagai pemandu bas selama lima tahun itu bagaimanapun terpaksa ‘mengalah’ disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19 bermula Mac tahun lepas.
Sejak itu, basnya ‘tersadai’ dan dia bersama isterinya kini melakukan apa sahaja pekerjaan yang boleh menjana pendapatan untuk mereka sekeluarga.
Buat masa ini, katanya, mereka berniaga kuih-muih termasuk di bazar Ramadan selain berniaga juadah yang sama pada sebelah pagi ketika hari biasa.
“Boleh dikatakan, wang simpanan yang saya ada juga telah habis digunakan ketika ini dan berharap kepada perniagaan ini sahaja untuk meneruskan kehidupan.
“Pada masa sama, saya juga terpaksa menanggung bebanan hutang yang besar dengan syarikat pinjaman kredit sebanyak RM5,500 sebulan hingga ke hari ini,” katanya yang berharap bebanan tersebut dapat diselesaikan segera kerana benar-benar menghimpit kehidupannya ketika ini.
Mohamad Faeez ditemui dalam Majlis Sumbangan Barangan Dapur untuk pemandu dan pengusaha bas anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Persatuan Kebajikan Pengusaha dan Pemandu Bas Utara atau Gabungan Pengusaha Bas Persiaran (GPBP) Zon Utara, di sini hari ini.
Sumbangan tersebut diserahkan Pengarah Yadim negeri, Mohd. Afifi Ruslan serta Pengerusi GPBP Zon Utara, Ahmad Ruslan.
Sebanyak 100 pemandu serta pengusaha bas di sini yang menerima sumbangan tersebut berupa barangan keperluan harian seperti beras, biskut, kicap dan sebagainya itu, dibahagikan kepada tiga peringkat bermula hari ini sehingga 8 Mei depan.
Seorang lagi pemandu bas, Hasnan Nizan Abdullah, 50, bantuan yang dihulurkan Yadim itu sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung ketika ini apatah lagi kebanyakan mereka kini tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.
Dalam pada itu, Mohd. Afifi memberitahu, pihaknya terpanggil menghulurkan bantuan tersebut selepas menerima surat daripada GPBP Zon Utara yang memohon sumbangan kepada pemandu serta pengusaha bas yang terjejas akibat PKP sejak tahun lepas.
“Kita memperuntukkan sebanyak RM5,000 di bawah program Yadim Peduli sempena Ihya Ramadan ini untuk membantu meringankan beban yang ditanggung mereka ketika ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan