Rabu, 28 April 2021

UPSR hanya lahirkan pelajar mahu dapat 'A'

Astro Awani
UPSR hanya lahirkan pelajar mahu dapat 'A' - NUTP
Kata Harry menerusi Skype ke Astro AWANI, Kementerian Pendidikan perlu 
mengadakan sesi libat urus serta perbincangan dalam isu penutupan sekolah. 
- Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 akan menyelamatkan pelajar yang selama ini hanya ditekan bertubi-tubi untuk mendapatkan 'A' di dalam peperiksaan.
 
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, ia juga tidak menghasilkan pelajar yang boleh berfikir namun hanya boleh mengimbas soalan untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
 
"Kenapa guru-guru tidak bersetuju? Kerana kita telah sekian lama mengadakan UPSR, kita tidak hasilkan murid yang dapat berfikir. Kita hanya melahirkan generasi yang hanya dapat mengimbas kembali, jawab soalan untuk dapat A sahaja.
 
"Tetapi untuk dapatkan kerja, untuk dapat asimilasi masyarakat, itu kita kurang dan kita lihat permasalahan yang timbul adalah pelajar ini kurang aktif. Mereka hanya diberi tekanan untuk UPSR sahaja," katanya semasa sidang video pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin memuktamadkan untuk memansuhkan UPSR mulai 2021.
 
Katanya, tiada peperiksaan ganti bagi ujian Murid Tahun 6 itu.
 
Dalam pada itu kata Harry, Kementerian Pendidikan perlu mengadakan sesi libat urus serta perbincangan dalam isu penutupan sekolah.
 
Ujarnya, ia mengelakkan sebarang permasalahan baharu yang mungkin timbul dalam proses penghantaran pelajar pulang cuti sekolah yang melibatkan asrama serta penutupan sekolah.

Tiada ulasan: