Tauke judi bagi duit raya bukannya RM1,000, kadang-kadang sampai RM10,000
KLUANG – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis di Johor yang menerima duit raya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran beliau tidak akan bertolak ansur berhubung perkara itu.
“Kalau ada aduan, saya akan ambil tindakan. Tiada istilah duit raya, yang tadi ditanya itu kurma, kurma bagi saya itu biasa.
“Tapi kalau duit raya lain. Kalau tauke judi bagi duit raya bukannya RM1,000 tapi kadang-kadang sampai RM10,000. Kalau ada maklumat saya akan ambil tindakan.
“Yang mana ambil rasuah, saya sudah dan akan ambil tindakan siasat, tiada tolak ansur,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pemberian kurma yang kerap diamalkan umat Islam pada Ramadan tidak dianggap rasuah kerana lebih berupa hadiah kepada seseorang.
“Takkanlah kita nak kategorikan pemberian kurma sebagai rasuah terutama bulan puasa ini, banyak sedekah makanan dapat pahala banyak,” katanya.
Katanya lagi, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot, turut menggunakan istilah hadiah bagi mereka yang berkemampuan.
Bagaimanapun bagi Musang King, beliau berkata, ia mungkin dianggap rasuah kerana harganya yang mahal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan