Rabu, 28 April 2021

Neelofa sanggup bayar RM50,000 bantu peniaga burger

AGENDA DAILY

Neelofa sedia membayar RM50,000 kompaun yang dikenakan terhadap penjual burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir.

Selepas dikompaun RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa menawarkan bantuan kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir.

Neelofa dilaporkan bersedia membayar RM50,000 kompaun yang dikenakan terhadap Wan Mohd Faisal kerana kesalahan berniaga lebih masa di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, malam kelmarin.

Memetik laporan BHOnline, isteri peniaga itu, Norlaili Shafien, 37, memberitahu peguam Neelofa menghubunginya jam 5.30 petang tadi yang memaklumkan selebriti itu mahu membayar jumlah kompaun yang dikenakan kepada mereka.

“Peguam berkenaan meminta saya menghubunginya kembali jika saya bersetuju untuk menerima tawaran itu.

“Kami berterima kasih kepada Neelofa kerana sudi membantu kami, namun buat masa ini saya dan suami mahu menunggkeputusan rayuan kompaun,” katanya dipetik daripada BHOnline.

Selain Neelofa, Norlaili juga berkata, PU Azman juga turut menghubunginya pada jam 5 petang tadi.

“PU Azman juga mahu menghulurkan bantuan untuk membayar jumlah kompaun yang dikenakan kepada kami. Pada masa yang sama kami juga menerima panggilan daripada penyanyi rap, Caprice pada jam 10.30 malam tadi.

“Kami menghargai tawaran daripada selebriti yang mahu membantu menyelesaikan kompaun RM50,000 yang dikenakan kepada suami.

“Namun, buat masa sekarang saya dan suami berbincang untuk menunggu jumlah kompaun sebenar yang dikenakan kepada kami. Jika jumlah yang perlu dibayar terlalu banyak dan kami tidak mampu membayarnya, maka kami akan menerima tawaran itu,” katanya.

Tiada ulasan: