Jumaat, 30 April 2021

Lelaki tular video anggota trafik kerana tidak puas hati disaman

Oleh MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA: Satu kertas siasatan telah dibuka polis terhadap seorang lelaki yang bertindak memuat naik video anggota trafik dalam laman sosial Instagram, semalam.

Penyebaran video berkenaan dipercayai dilakukan oleh lelaki itu selepas tidak berpuas hati disaman atas kesalahan guna lesen kenderaan motor bagi tujuan lain.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, susulan itu, anggota terbabit membuat laporan selepas mengetahui dirinya dan rakan setugas ditularkan oleh seorang lelaki di Instagram, semalam.

“Suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengadu mengeluarkan saman atas kesalahan guna lesen kenderaan motor (LKM) bagi tujuan lain pada Isnin lalu dan menyebabkan dia sudah dikenakan denda RM1,000 oleh mahkamah atas kesalahan itu.

“Suspek juga datang ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam untuk membuat laporan polis kerana terbabit kemalangan langgar belakang dan dikenakan saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau dikehendaki bersabit Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dia diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras bagi siasatan lanjut.

“Suspek menularkan video berkenaan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta reputasi anggota trafik terbabit.

“Justeru itu, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: