Rabu, 28 April 2021

Polis kesan individu sebar maklumat sulit 12 penguat kuasa

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
 
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

JOHOR BAHRU: Polis mengesan individu yang terlibat dalam menyebar senarai nama 12 pegawai penguat kuasa yang ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah ‘Geng Nicky’.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan menyebarkan maklumat sulit berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Polis Johor telah mengesan satu maklumat sulit mengenai senarai nama 12 orang agensi penguat kuasa yang ditangkap bersabit ‘Geng Nicky’.

“Senarai nama itu telah dikongsi dan disebar melalui aplikasi WhatsApp oleh pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Tambah Ayob Khan, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Justeru itu, semua pihak diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tersebut dan mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat itu akan diambil tindakan mengikut seksyen berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam sidang akhbar yang diadakan tengah hari ini, beliau memberitahu seramai 12 pegawai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan dalam Op Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan polis Johor antara 21 April hingga hari ini.

Operasi terbabit dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: