KOTA KINABALU: Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, peniaga biskut raya antara individu yang paling sibuk menyiapkan tempahan daripada pelanggan.
Begitu juga pada tahun ini. Biarpun tempahan berkurang berbanding sebelum pandemik Covid-19, namun peniaga boleh menarik nafas lega kerana masih lagi menerima tempahan.
Farah Diana Jahin, 40, berkata, tempahan pada tahun ini boleh dikatakan berkurang 50 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Untuk tahun ini, mereka menerima 250 balang tempahan biskut pelbagai jenis berbanding lebih 500 balang sebelum pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, kenaikan harga barangan menyebabkan peniaga biskut raya berada dalam keadaan tersepit. Namun, sebagai peniaga dia tidak boleh menaikkan harga biskut sesuka hati biarpun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah.
“Kebanyakan harga barangan membuat biskut yang menggunakan mentega asli sudah naik. Harga tepung juga saya dapati meningkat iaitu dari RM2.60 sehingga RM3.10 sekilogram di sekitar Putatan,” katanya.
Peniaga yang mula mengusahakan biskut raya sejak 15 tahun lalu ini sering menjual biskut di bazar Wisma Muis. Namun, sejak pandemik melanda, mereka tidak lagi berniaga di situ.
“Tahun ini kami hanya menerima tempahan secara online. Saya masih bersyukur kerana masih ada yang menempah biskut raya biarpun Aidilfitri kali ini terpaksa diraikan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Ada juga tempahan yang kami terima dari Tawau dan Labuan. Antara biskut yang saya jual termasuk makmur kacang cornflakes, tart nanas, suji Brunei dan snow almond. Selain itu, mereka turut menerima tempahan kuih tradisional seperti jala dan sapit,” katanya.
Farah Diana berkata, dia mampu memperoleh kira-kira RM10,000 termasuk modal perbelanjaan bagi menyediakan 250 balang tempahan biskut.
Biasanya mereka akan mengambil tempahan biskut raya sebulan sebelum Ramadan dan menutup tempahan pada minggu pertama Ramadan.
Sementara itu, Normahani Yahya, 36, berkata, dia bersyukur tempahan biskut raya tahun ini amat baik. Bukan hanya sibuk menyiapkan tempahan daripada individu perseorangan tetapi juga tempahan daripada ejen jualan dan koperasi.
Untuk tahun ini, beliau menerima tempahan lebih 200 balang tart nenas yang dijual pada harga RM35 setiap satu balang.
Sejak mula berniaga biskut raya lima tahun lepas, biskut tat nanas dan tat cadbury yang dihasilkan mempunyai pelanggan tersendiri jadi agak mudah untuk Normahani menjual biskut sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
Beliau berkata, beberapa barangan turut mengalami sedikit peningkatan harga seperti minyak sapi dan tepung. Namun, kenaikan harga itu hanya pada beberapa jenis tepung.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan