Dr Noor Hisham berkata syarikat tersebut melakukan lima kesalahan antaranya tiada penjarakan fizikal, dan tidak mengehadkan satu pintu masuk premis.
Syarikat tekstil, Jakel Sdn Bhd yang lebih popular dengan gelaran Jakel dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di cawangannya di Bangi, Selangor semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham memberitahu MalaysiaNow, syarikat tersebut melakukan lima kesalahan antaranya gagal memastikan bilangan pintu masuk dihadkan kepada satu pintu utama, tiada penjarakan satu meter dan gagal memastikan pelanggan membuat saringan MySejahtera.
Selain itu, Jakel juga didapati bersalah kerana gagal mengehadkan bilangan pelanggan yang masuk ke dalam premis dan gagal memastikan nombor maklumat ditulis dalam buku daftar yang lengkap.
“Kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya kepada MalaysiaNow.
Semalam tular gambar pengunjung sesak di Jakel cawangan Bangi dengan tidak mematuhi SOP kesihatan Covid-19.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat memberitahu MalaysiaNow, pengurusan Jakel Bangi diingatkan sekiranya berlaku pelanggaran SOP pada masa akan datang, tindakan penutupan premis selama 14 hari tanpa kompromi tidak teragak-agak untuk dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan