MALAYSIAKINI
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan sejumlah 22 bazar ramadan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) di enam negeri dan satu wilayah persekutuan ditutup berkuatkuasa esok.
Perkara itu dinyatakan dalam surat yang diedarkan kepada PBT berkaitan yang ditandatangani ketua setiausaha KPKT Zainal Abidin Abu Hassan bertarikh hari ini.
Menurut surat itu, perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada dua hari lalu.
"KPKT telah menerima laporan daripada Hide (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan seperti yang dilampirkan.
"Ancaman penyebaran ini adalah hasil analisis pengesanan kontak yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera.
"Sehubungan itu, kerjasama diperlukan untuk menutup operasi bazar Ramadan berkuat kuasa pada 1 Mei 2021 bagi membendung dan mengawal jangkitan serta peningkata kes Covid-19," menurut surat itu.
Bazar Ramadan yang diarahkan tutup adalah seperti berikut:
Johor: Belatuk Taman Scientex, Pasir Gudang; Kg Pasir, Jalan Mata Kuching, Johor Bahru; @Mart Kempas, Johor Bahru; Lok Heng, Kota Tinggi.
Kedah: Taman Selasih, Kulim; Baling 2021, Baling; Kupang 2021, Baling.
Pahang: Lurah Semantan, Temerloh; Temerloh Jaya, Temerloh.
Perak: Bazar Nenas Kg Selabak, Teluk Intan.
Pulau Pinang: MPKK Jalan Tenggiri, Seberang Perai; Attakwa Taman Bertam Indah, Seberang Perai; Bazar Ramadhan MBPP/MBSP; Kampung Melayu; Masjid Daerah Barat Daya; Iftar Ramadhan Jalan Berangan Bkt Bntng 2021; Bukit Gedung; Taman Tun Sardon.
Selangor: Pusat Sementara Penjaja/Basar Ramadhan Puncak Jalil, Subang Jaya; Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya.
Kuala Lumpur: Taman Setiawangsa; Jalan Raja Alang.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menumumkan penutupan bazar Ramadan Taman Setiawangsa dan Jalan Raja Alang - yang turut tersenarai dalam surat KPKT - tetapi menjelaskan ia hanya untuk dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad ini (1 dan 5 Mei).
Arahan itu susulan kes Covid-19 yang terus meningkat mutakhir ini, dengan hari ini mencatatkan 3,788 kes baru.
Kadar kebolehkangkitan R-nought (Rt) seluruh negara semalam adalah 1.2, yang menandakan wabak itu kian menular dengan pantas. Kali terakhir kadar Rt bawah 1.00 adlaah pada 7 April lalu.
Di peringkat negeri, kadar Rt di negeri dan wilayah persekutuan yang terkesan dengan arahan penutupan ini adalah seperti berikut: Kuala Lumpur (1.23), Selangor (1.19), Kedah (1.22), Pahang (1.20), Johor (1.14), Perak (1.08), dan Pulau Pinang (1.01).
Kelantan - negeri dengan Rt tertinggi iaitu 1.24 - telah pun memutuskan yang bazar Ramadan tidak akan diadakan pada tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan