HARAPAN untuk menyelamatkan 53 anak kapal selam milik Indonesia, KRI Nanggala 402 semakin tipis selepas imbasan dibuat pihak tentera mendapati kapal itu berada pada kedalaman 850 meter, jauh melebihi kemampuan kapal berkenaan.
Ini diburukkan lagi dengan pendedahan pihak tertinggi ketenteraan bahawa bekalan oksigen mereka dijangka habis pada awal hari ini.
Menurut Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto, KRI Nanggala 402 dalam fasa tenggelam susulan penemuan beberapa barangan dipercayai daripada kapal selam itu termasuk kesan tumpahan minyak yang ditemukan di permukaan sekitar kawasan pencarian.
“Pagi tadi, merupakan tempoh terakhir bekalan oksigen di Nanggala selama 72 jam.
“Angkatan Laut (AL) TNI menemukan tumpahan minyak dan serpihan sebagai bukti kukuh menunjukkan KRI Nanggala dalam fasa tenggelam,” katanya hari ini.
Hadi pada masa sama menjelaskan tidak ada letupan dikesan dalam insiden membabitkan KRI Nanggala.
Menurutnya, berlaku keretakan secara bertahal pada bahagian-bahagian tertentu kapal yang mulai turun mulai dari kedalaman 300-500 meter.
mentara itu, Panglima Angkatan Laut TNI, Laksamana Yudo Margono yang dipetik CNN Indonesia berkata, serpihan-serpihan yang ditemukan terapung di perairan Bali itu diyakini dari komponen kapal selam buatan Jerman itu.
Antara yang ditemukan, pelurus tabung peluru torpedo, paip pendingin serta botol berwarna oren mengandungi minyak pelincir kapal selam terbabit.
“Ditemukan beberapa kepingan dan barang di sekitar lokasi terakhir kapal menyelam yang diyakini bagian komponen kapal selam,” katanya.
Beliau berkata, berlaku keretakan pada kapal selam itu apabila ia mencapai kedalaman 700-800 meter mengakibatkan serpihan dan barang di dalamnya keluar.
“Sehingga barang-barang keluar, kerana barang ini sebenarnya ada
di dalam, penahan atau pelurus torpedo ini sampai keluar. Jadi ada
keretakan besar,” kata Yudo.
Selain itu Yudo memberitahu, walaupun berlaku retakan sehingga memungkinkan air masuk ke dalam kapal, beliau percaya masih ada bahagian kabin yang tidak dimasuki air.
“(Kalau) anggota sempat tutup ada kemungkinan tiada kemasukan air,” tambahnya.
KRI Nanggala hilang pada Rabu lalu ketika latihan menembak torpedo.
Beberapa negara termasuk Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat turut menyalurkan bantuan dalam operasi mengesan kapal selam terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan