Isnin, 26 April 2021

Ulat bulu serang kampung

 Oleh NOR AINNA HAMZAH

Oleh NOR AINNA HAMZAHSARIP Sariman menunjukkan kehadiran ulat bulu berwarna hitam yang memenuhi tepi jalan dan longkang di Kampung Geduk Sawah, Tampin sejak Jumaat lalu.-FOTO/NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN: Penduduk di Jalan Paya Kumbuh, Kampung Geduk Sawah, di sini berhadapan ‘serangan’ ulat bulu apabila ribuan serangga itu yang pelbagai saiz mula memenuhi halaman rumah mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ulat bulu berwarna hitam berkenaan memenuhi kawasan rumput dan longkang di kampung berkenaan malah ada yang berada di atas jalan.

Menurut penduduk, Ahmad Yaacob, 58, dia sudah menetap di perkampungan berkenaan sejak 18 tahun lalu namun kejadian ulat bulu memenuhi halaman rumahnya baharu sahaja pertama kali berlaku.

“Mula-mula saya tak perasan tapi bila nampak benda bergerak berwarna hitam yang agak banyak barulah saya mula nampak rupa-rupanya ia adalah ulat bulu.

“Kalau waktu pagi, cuaca tidak begitu panas kehadiran ulat bulu kurang sedikit namun jumlahnya akan bertambah sekiranya waktu petang dan cuaca panas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Seorang lagi penduduk, Sarip Sariman, 48, berkata, bagi mengelakkan ulat bulu masuk ke dalam rumah, penduduk mengambil inisiatif menyiram diesel dan juga menyembur racun serangga di sekeliling rumah.

Menurutnya, pada Jumaat lalu, hanya sebuah rumah penduduk sahaja yang dimasuki ulat bulu namun kini jumlah berkenaan bertambah kepada tujuh buah rumah penduduk.

“Kalau sedikit bolehlah kita nak sembur, tapi kalau banyak kita bimbang juga jika ulat bulu ini memberi kesan kepada kesihatan penduduk.

“Kami tak pernah berhadapan dengan serangan ulat bulu seperti ini dan kami harap agar agensi berkaitan dapat membantu penduduk bagi menghapuskan ulat bulu ini,” katanya.

Menurutnya lagi, penduduk juga tidak mengetahui dari mana datangnya ulat-ulat bulu berkenaan namun penduduk dimaklumkan ia berkemungkinan berpunca daripada pokok yang terletak berhampiran kampung. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: