Sesi persekolahan di Kelantan akan dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada 16 hingga 27 Mei.
Sebelum ini media melaporkan penutupan membabitkan 596 buah sekolah di Kelantan adalah sehingga 1 Mei.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Zulkernai Fauzi berkata seperti yang ditetapkan KPM sesi persekolahan akan dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada 16 hingga 27 Mei.
“Semua sekolah akan bercuti pertengahan tahun bermula 28 Mei hingga 12 Jun dan akan dibuka semula pada 13 Jun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Selasa (27 April), Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini sehingga 17 Mei berikutan peningkatan kes Covid-19.
Semalam, Kelantan merekodkan 401 kes positif baharu Covid-19 dengan 32 kluster yang masih aktif.
Sementara itu Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Setiu, Terengganu ditutup 14 hari bermula Rabu lepas hingga 11 Mei berikutan terdapat 12 kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan melibatkan 11 pelajar dan seorang guru.
Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata berikutan itu semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan menjalani ujian calitan dan proses kuarantin.
Beliau berkata penutupan sekolah dilakukan bagi memberi laluan kepada proses disinfeksi dan membuat saringan kesihatan untuk mencegah penularan Covid-19 di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Dr Nor Azimi turut mengingatkan golongan guru agar terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mencegah penularan yang lebih besar di sekolah.
“Guru juga kena sentiasa jaga jarak dengan pelajar termasuk ketika sesi ‘tasmik’ al-Quran kerana sudah ada kes jangkitan berlaku ketika sesi ini berjalan dan jumlahnya lebih daripada seorang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan