Jumaat, 30 April 2021

Polis serbu pusat judi dalam talian jana RM100,000 sehari

Siti Hafidah

Turut berkas 18 individu termasuk wanita berasal dari China

KUALA LUMPUR – Seramai 18 individu termasuk lima lelaki serta wanita warga China ditahan dalam serbuan ke sebuah banglo yang disewa dan dijadikan pusat panggilan judi dalam talian di Taman Orkid Desa di sini, semalam

Serbuan dijalankan jam 11.45 malam itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, sindiket yang mempromosikan perjudian dalam talian itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dipercayai meraih keuntungan harian mencecah RM100,000.

Katanya, siasatan mendapati mereka menyewa kediaman pada kadar RM25,000 sebulan, manakala setiap pekerja menerima upah di antara RM 5,000 hingga RM 7,000 sebulan.

“Penjaga premis pula menerima upah sebanyak RM15,000 sebulan.

“Semua suspek berusia 18 hingga 39 tahun akan direman untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi berkenaan turut merampas 109 telefon bimbit, satu unit modem, dua router, 27 set komputer riba, wang tunai RM54,000 dan mata wang asing dengan keseluruhan nilai dianggar berjumlah RM300,000.

Polis Kuala Lumpur turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999

Tiada ulasan: