Khamis, 29 April 2021

Kerajaan Johor umum tarikh cuti persekolahan sempena Aidilfitri

 Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

TOSRIN JARVANTHI

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menetapkan tarikh cuti persekolahan sempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini bagi sekolah-sekolah di bawah kelolaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, penetapan itu dibuat dengan mengambil kira pengumuman Menteri Kanan Pendidikan menerusi sidang akhbar, baru-baru ini.

Menurut beliau, tarikh cuti berkenaan melibatkan Institusi Pendidikan Islam Negeri Johor.

“Bagi Maahad Tahfiz Negeri, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dan Tadika Agama Johor, cuti ditetapkan bermula 7 Mei sehingga 15 Mei.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pula akan bermula pada 16 Mei sehingga 27 Mei mengikut kesesuaian guru dan murid. Manakala bagi mereka yang akan pulang ke asrama bermula 12 Jun bagi kelas darjah khas dan 13 Jun bagi murid dan pelajar lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Tosrin memberitahu, cuti bagi Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Islam Swasta, Maahad dan Madrasah Tahfiz Swasta, Madrasah Pondok Swasta dan Madrasah Malabar Johor tertakluk kepada pihak sekolah. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: