Isnin, 26 April 2021

Rakyat perlu korban sambut Aidilfitri di perantauan

 HARAKAH DAILY

PASIR MAS: Rakyat Kelantan yang tinggal di negeri-negeri lain diminta akur mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan walaupun terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri kali kedua di perantauan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengorbanan itu penting bagi mengekang penularan Covid-19 yang masih tinggi di Kelantan.

Katanya, apa yang perlu dilakukan patuhi arahan kerajaan khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita tidak mahu perkara ini berterusan sehingga tidak dapat menyambut Aidilfitri dalam kelompok yang kecil akibat kecuaian kita sendiri. Sekiranya aktiviti balik kampung masih dihalang kerajaan, rakyat mesti ikut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kanopi berukuran 20×20 bernilai RM2,000 kepada Klinik Meranti, dekat sini bagi kegunaan petugas kesihatan di klinik terbabit.

Turut hadir Penolong Pegawai Perubatan, Shariman Sulaiman. Kemudahan khemah disediakan bagi membolehkan orang ramai yang menunggu untuk membuat saringan Covid-19 berada dalam keadaan selesa.

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata, beliau sentiasa memantau perkembangan semasa Covid-19 yang berlaku khususnya di Kelantan memandangkan jumlah harian kes masih lagi tinggi.

“Walaupun sebahagian kita terkesan dari arahan itu, tetapi apa yang kerajaan buat untuk menjaga kemasyalahatan semua. Sekiranya kelonggaran itu diberi ia akan membuatkan kes Covid-19 semakin meningkat,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau berharap supaya rakyat Kelantan terus bersabar kerana akibat ketidakpatuhan itu membuatkan kesan besar yang akan ditanggung semua pihak.

Katanya juga perbezaan amat ketara antara Terengganu dan Kelantan dalam kes harian Covid-19, sedangkan kedua negeri kedudukan berjiran.

Jelasnya, rakyat Terengganu boleh melakukan aktiviti harian sebagaimana biasa termasuk mengimarahkan masjid termasuk bertarawih.

Tahun lepas rakyat Kelantan yang bekerja di perantauan tidak dapat berhari raya bersama keluarga di kampung kerana larangan rentas negeri akibat penularan pandemik Covid-19. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: