Jumaat, 30 April 2021

PKPB di seluruh daerah Raub

 Oleh AMREE AHMAD

ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Susulan kemunculan Kluster Raub Jaya, enam lokaliti dalam dua mukim di Daerah Raub, Pahang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 13 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah berkata, seluruh daerah itu diisytiharkan sebagai zon PKP Bersyarat (PKPB) secara serentak yang juga mulai esok.

“Pelaksanaan PKP dan PKPB ini untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal dan mengelakkan penularan kes Covid-19 ke kawasan lain,” katanya melalui kenyataan hari ini.

PKP di Mukim Gali ialah Bandar Raub, Sungai Ruan dan Kampung Baru Sempalit serta Kampung Sang Lee, Kampung Baru Tras dan Kampung Sungai Cheetang di Mukim Tras.

Kluster di lokaliti ini ujarnya, merebak disebabkan aktiviti sosial dan turut dikesan di sekolah serta dalam kalangan pelajar dengan merekodkan 83 kes positif sejak sembilan hari lalu.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, PKP Diperketatkan (PKPD) bakal dikenakan di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Daerah Temerloh, Pahang juga selama 14 hari yang akan bermula esok susulan 11 kes positif Covid-19 direkodkan daripada 117 orang yang disaring selain masih berlaku lagi penularan dengan kadar kebolehjangkitann pula adalah tinggi.

Turut dikenakan PKPD katanya, ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu di Jalan Po Ai, Sri Aman, Sarawak susulan 17 kes dicatatkan daripada 594 ujian saringan dilaksanakan.

Dalam pada itu ujar beliau, PKPD melibatkan dua institusi pengajian agama di Kelantan dilanjutkan lagi untuk tempoh dua minggu antaranya di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung di Tumpat selain Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu.

Bagaimanapun jelasnya, PKPD melibatkan sejumlah tujuh lokaliti yang berbeza di seluruh negara pula akan ditamatkan esok susulan penurunan kes baharu dan kluster juga terkawal.

“Ada ditamatkan lebih awal iaitu di Sungai Passin, Matu, Bahagian Mukah, Sarawak yang sepatutnya berakhir 8 Mei depan namun ditamatkan lebih awal kepada esok selain Kampung Baru Pasir Putih, Taman Tawau Lama, Kampung Batu Payung, dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah.

Juga ditamatkan PKPD mengikut jadual kata Ismail Sabri, ialah di Pusat Latihan Polis dan kuarters kakitangan di Kuching, Sarawak dan Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: